by

Tempahan patung kepala singa, naga merosot

News Sources:

IPOH: Kebiasaannya beberapa bulan menjelang sambutan Tahun Baru Cina, Teh Wing Liang, 46, tidak menang tangan untuk menyiapkan tempahan kepala singa dan naga dipesan pelanggan yang mahu hiasan wajib semasa perayaan tersebut diterima tepat pada masa.

Situasi itu bagaimana pun berbeza pada tahun ini apabila tempahan daripada pelanggan merosot sehingga 50 peratus disebabkan sambutan ‘raya’ kali ini adalah secara sederhana kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Wing Liang berkata, biarpun permintaan dalam negara berkurangan tetapi dia masih menerima tempahan pelanggan dari luar negara seperti Singapura, Taiwan, Thailand dan Britain.

Dia yang mempelajari seni pembuatan itu sejak berusia 15 tahun memberitahu, ini kerana perayaan Tahun Baru Cina di luar negara diraikan seperti biasa lalu menyaksikan aksesori tersebut wajib dimiliki.

“Pengumuman PKP di seluruh negara menyebabkan tempahan jatuh merosot, malah untuk menampung pendapatan saya mengambil upah melukis gambar-gambar dewa yang diminta pelanggan.

“Mujur juga beberapa pertubuhan dan persatuan Cina telah membuat tempahan sebelum PKP dan telah disiapkan jadi dapatkan sedikit pendapatan,” ujarnya ketika ditemui pemberita di Pasir Pinji di sini baru-baru ini.

Harga bagi setiap set kepala singa termasuk badan dan seluar berharga antara RM2,800 hingga RM3,200 manakala set bagi kepala naga pula antara RM5,500 hingga RM6,200.

Kepala singa dan naga itu diperbuat menggunakan rotan, buluh, kertas dan kain yang mengambil masa seminggu untuk disiapkan.

Setiap rekaan dan hiasan kepala singa atau naga juga berbeza di mana ia memerlukan kemahiran bagi si pembuatnya.

Kata Weng Liang, jika tahun sebelumnya tempahan yang banyak menyebabkan dia terpaksa menyambung kerja di rumah demi memastikan ia dapat disiapkan tetapi tidak pada tahun ini.

Selain mengambil upah melukis, dia juga berkemahiran menghasilkan dekorasi dan turut diupah untuk membuat hiasan di beberapa restoran.

“Menggunakan kemahiran membuat kepala singa dan naga, saya kini turut mengambil upah menghasilkan kerangka untuk perangkap nyamuk yang ditempah sebuah syarikat.

“Selain itu, saya turut menghasilkan ikan dan hiasan kepala burung untuk kegunaan persembahan kebudayaan,” ujarnya.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan persembahan tarian singa dan naga tidak dibenarkan untuk sambutan Tahun Baharu Cina susulan pelaksanaan PKP bagi mengekang penularan Covid-19. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed