by

Teraju, RHB Islamic peruntuk dana RM126 juta

News Sources:

PETALING JAYA: Teraju Bumiputera Corporation (Teraju) menjalinkan kerjasama strategik dengan RHB Islamic Bank Berhad bagi menyediakan kemudahan pembiayaan berjumlah RM126 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera menerusi Program Rantaian Bekalan Kewangan. 

Program kemudahan pembiayaan sehingga RM5 juta itu menyasarkan 120 PKS bumiputera seluruh negara terutama di enam negeri iaitu Perlis, Kedah, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Md. Silmi Abd. Rahman berkata, program selama tiga tahun hingga 2024 itu merupakan sebuah platform dana pusingan dengan sasaran pulangan modal mencecah kadar minimum RM360 juta. 

Katanya, Teraju memperuntukkan sebanyak RM26 juta dalam program tersebut manakala baki RM100 juta adalah daripada RHB Islamic. 

“Kemudahan pembiayaan ini menyasarkan semua sektor ekonomi tetapi tumpuan diberikan kepada sektor minyak dan gas, automotif dan utiliti. 

“Kami akan kaji semula program ini dalam masa enam bulan dan jika mendapat sambutan menggalakkan, mungkin kami akan menambah peruntukan dana,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani perjanjian usaha sama antara Teraju dan RHB Islamic menerusi Program Rantaian Bekalan Kewangan untuk syarikat PKS bumiputera, di sini semalam.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic, Datuk Adissadikin Ali berkata, kerjasama itu dapat membantu PKS bumiputera mendapatkan fasiliti pembiayaan terutama syarikat-syarikat yang terkesan akibat Covid-19. 

Ujarnya, PKS bumiputera akan mendapat akses mudah kepada fasiliti penyelesaian pembiayaan perdagangan Islam dalam persekitaran pasaran mencabar ketika ini. 

“Melalui platform Rantaian Bekalan Kewangan, PKS bumiputera akan dapat menikmati pembiayaan modal kerja dengan kadar segera tanpa perlu menyediakan sebarang bentuk cagaran. 

“Platform elektronik ini membolehkan penghantaran pembiayaan invois dengan cepat, mudah dan selamat,” jelas beliau. 

PKS bumiputera boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari www.rhbgroup.com dalam masa terdekat atau emel kepada [email protected]. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed