by

Tiada keperluan siasat dakwaan Annuar

News Sources:

PASIR SALAK: Tiada keperluan untuk UMNO menubuhkan jawatan kuasa khas menyiasat dakwaan wujud secara hitam putih surat sokongan melibatkan pimpinan tertinggi UMNO terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, ia hanya dakwaan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa dan menganggapnya palsu serta tidak benar.

Katanya, dakwaan itu hanya untuk memburu, menyalahkan dan menghasut kepemimpinan UMNO kerana sudah jelas parti itu memang menolak kerjasama dengan Anwar dan DAP.

“Tak perlu layan dakwaan itu, ia tindakan orang terdesak. Tiada keperluan (menubuhkan jawatankuasa khas). Lagipun tuduhan itu tidak betul, tidak ada cadangan, usaha atau gerakan untuk menyokong Anwar Ibrahim atau DAP.

“Dia kata ada pemimpin UMNO berjumpa dengan pemimpin DAP dan Anwar, tidak boleh jumpakah?. Bukan bermakna bila jumpa kita mahu ada satu gerakan untuk menubuhkan pakatan kerjasama politik,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat dan menyampaikan sumbangan kepada 100 keluarga yang terjejas banjir di Dewan Serbaguna Chikus, di sini semalam.

Beliau ditanya gesaan beberapa pemimpin UMNO supaya satu jawatan kuasa khas ditubuhkan parti itu bagi menyiasat dakwaan dikemukakan Annuar serta kesahihan surat sokongan parti itu kepada Anwar.

Tajuddin turut meminta bekas Setiausaha BN itu supaya bertenang serta tidak berterusan memburukkan parti.

“Orang lain juga pernah diberhentikan dan dipecat dari UMNO, diberhentikan itu ini, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz misalnya pernah dilantik Setiausaha BN dan digantikan dengan (Datuk Seri) Tengku Adnan, tapi dia tidak macam Annuar Musa,” katanya.

Sementara itu, mengulas pandangan beberapa pengalisis politik bahawa UMNO akan mendapat undi protes sekiranya berkeras meneruskan Pilihan Raya Umum dalam tempoh terdekat dan perkara itu hanya akan menguntungkan pembangkang, Tajuddin berkata, ia hanya andaian.

Beliau berkata, pilihan raya umum adalah bagi membolehkan mandat baharu kerajaan diperoleh untuk membolehkan wujudnya kerajaan yang lebih stabil.

“Mana mereka tahu ada protes ke tidak sebab belum sampai masa lagi, belum sampai masa nak tahu siapa menyokong siapa, siapa nak protes siapa.

“Pada masa sekarang, kerajaan tidak stabil. Jadi nak mewujudkan kerajaan yang stabil lebih baik pergi kepada rakyat supaya rakyat memilih.

“Mandat baru dan kestabilan ini penting, kerajaan tak stabil tiada yang mahu melabur dalam negara dan tiada peluang pekerjaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed