by

Tiada `orang dalam’ terlibat kartel daging

News Sources:

PUTRAJAYA: Tiada ‘orang dalam’ di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang terlibat dalam kartel daging sejuk beku yang menggemparkan tanah air baru-baru ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengesahkan perkara tersebut dan berkata, pihaknya menyokong penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengenal pasti dalang sebenar.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, beliau berkata, berdasarkan jumlah sitaan dan kesalahan disiasat KPDNHEP, isu tersebut serius dan pihaknya turut memberi komitmen bagi membendung aktiviti penyalahgunaan logo halal terutamanya bagi produk sejuk beku diimport.

“Saya tegaskan tiada pegawai KPDNHEP bersekongkol atau bersubahat dengan mana-mana syarikat pengimport atau pembekal daging sejuk beku di negara ini. Malah, KPDNHEP menyokong penuh penubuhan RCI bagi memastikan kes ini disiasat lebih telus.

“Untuk rekod, hasil pemeriksaan dan siasatan telah menghasilkan dua kes di bawah Perenggan 8 Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 dan Seksyen 5 Akta Perihal Dagangan 2011.

“Jumlah rampasan keseluruhan termasuk 10,876 kotak daging sejuk beku pelbagai jenis dengan nilai rampasan keseluruhan bagi kedua-dua kes dianggarkan RM3.5 juta,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa khas membabitkan beberapa agensi bagi memantau isu penipuan daging tersebut.

“Kita menubuhkan Jawatankuasa Perundangan dan Penguatkuasaan Halal yang turut dianggotai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Agama Islam Negeri bagi penguatkuasaan Halal di Malaysia, termasuk menangani isu cop halal palsu.

“Kerajaan juga bekerjasama dengan semua agensi termasuk Kastam, MAQIS dan Veterinar (DSV) bagi memantau isu penipuan daging,” katanya.

Pada 23 November tahun lalu, sebuah akhbar membuat pendedahan berkaitan kegiatan syarikat ejen fret (freight forwarder) yang menguruskan proses import daging sejuk beku halal menyeludup daging secara haram ke Malaysia.

Laporan tersebut sekali gus membawa kepada tindakan pihak berkuasa menyerbu sebuah gudang membekal daging sejuk beku di Senai, Johor pada 1 Disember.

Mengulas perkara itu Alexander, berkata bagi memastikan pengguna mendapatkan sumber daging sejuk beku import halal dan tidak diragui, Jakim menyediakan platform semakan untuk mengesahkan sumber daging yang dibeli. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed