by

Tiga warga emas antara 14 dicekup sabung ayam 

News Sources:

IPOH: Seramai 14 lelaki termasuk tiga warga emas ditangkap ketika asyik bermain judi sabung ayam di kawasan kebun berpagar di Menglembu di sini semalam.

Kesemua lelaki berusia antara 25 hingga 71 tahun itu diberkas dalam serbuan Op Limau oleh pasukan risik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada pukul 11.45 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, dalam serbuan itu, pihaknya merampas lima ekor ayam sabung, lima buah sangkar, satu jam penggera digital, empat gulung kotak yang dijadikan gelanggang dan empat kerusi.

Katanya, turut dirampas bersama kesemua suspek ialah wang tunai berjumlah RM25,078.

“Ketika serbuan dijalankan, kesemua suspek cuba melarikan diri namun mereka berjaya ditangkap.

“Siasatan mendapati, aktiviti perjudian sabung ayam itu berlangsung sebanyak lima kali di mana ayam akan bersabung dalam tempoh 20 minit sekali pusingan dengan masing-masing meletakkan wang pertaruhan,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, siasatan juga mendapati aktiviti itu meletakkan had wang pertaruhan antara RM500 ke RM1,000.

Katanya, kesemua tangkapan turut dikenakan kompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kesemua tangkapan telah dimasukkan ke dalam lokap Balai Polis Jelapang dan Pasir Puteh. 

“Permohonan reman akan dimohon ke atas mereka untuk melengkapkan siasatan di bawah Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 3(1) Langkah-Langkah Pencegahan dan Penganiayaan Terhadap Binatang 1962,” katanya. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed