by

Tolong bersabar UMNO- Bersatu Kelantan

News Sources:

PASIR PUTEH: UMNO perlu bersabar dan tidak terlalu mendesak Pilihan Raya Umum (PRU-15) diadakan dalam tempoh terdekat kerana ancaman pendemik Covid-19 terhadap negara ini belum berakhir.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Kelantan, Datuk Kamarudin Md. Nor berkata, jika PRU-15 dibuat ketika rantaian Covid-19 belum diputuskan, kes jangkitannya berkemungkinan boleh meningkat hingga empat kali ganda.

“Selain itu kita khuatir, sekiranya PRU-15 diteruskan, parti yang menang tidak mendapat majoriti selesa disebabkan ‘mood’ rakyat ketika ini yang berdepan banyak masalah.

“Justeru, kerajaan baharu yang bakal dibentuk nanti juga tidak kukuh.. dan bila tidak kukuh, pergolakan politik jadi berterusan dan polemik ini pastinya tidak akan kesudahan,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Beliau mengulas tindakan pemimpin UMNO di peringkat bahagian dan negeri, termasuk Kelantan baru-baru ini yang secara berterusan mendesak Parlimen dibubarkan dan PRU-15 segera diadakan dalam masa terdekat.

Terdahulu, Kamarudin yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) menyempurnakan Majlis Penyerahan Bantuan Rezeki Tani 2020 di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Cherang Rotan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Kamarudin berkata, UMNO sepatutnya bertenang kerana Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ada ketika ini perlu terus dipertahan sehingga tamat penggal PRU-14.

“Bersatu memerlukan UMNO dalam mengukuhkan lagi kestabilan negara dan perpaduan dalam kalangan masyarakat, lebih-lebih lagi ketika kita sedang berusaha membebaskan Malaysia daripada Covid-19.

“UMNO perlu melihat gambaran yang lebih besar dengan mengetepikan kepentingan politik. Saya harap UMNO sedar inilah peluang terbaik untuk mengukuhkan perpaduan dalam kalangan orang Melayu,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Kamarudin meluahkan rasa simpati terhadap Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang digugurkan daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, keputusan BN itu dilihat bakal memberikan kesan negatif kepada parti itu sendiri memandangkan Annuar seorang pemimpin yang berkaliber dan berpengalaman luas dalam dunia politik. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed