by

Tujuh kru selamat, kapal tunda terbakar di tengah laut

News Sources:

ALOR GAJAH: Tujuh kru termasuk lima warga tempatan berdepan detik cemas selepas kapal tunda Tag Nur 21 yang dinaiki terbakar di kedudukan 2.5 batu nautika barat daya pantai Pengkalan Balak, di sini semalam. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.10 petang itu, kesemua tujuh kru berusia antara 20 hingga 47 tahun sempat menyelamatkan diri dan berjaya dipindahkan ke kapal tunda berhampiran.

Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan, Komander Maritim Azman Samsudin berkata, pihaknya menerima maklumat menerusi panggilan MERS 999 dan sebuah Bot Benteng 04 Maritim Malaysia telah digerakkan ke lokasi. 

“Kita telah menggerakkan sebuah bot bagi melaksanakan operasi mencari dan menyelamat serta membuat kawalan keselamatan di tempat kejadian.

“Seramai tujuh orang kru kapal berjaya dipindahkan ke kapal tunda yang berhampiran dengan lima daripadanya warga tempatan, manakala dua lagi warga Indonesia dan dilaporkan selamat serta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini. 

Mengulas lanjut, beliau berkata, kerja-kerja pemadaman api menggunakan ‘water cannon’ telah dilakukan oleh kapal tunda berdekatan dan mengambil masa hampir lima jam untuk mengawal kebakaran sepenuhnya. 

“Tiada tumpahan minyak dilaporkan berlaku dan pihak kami akan membuat pemantauan berterusan.

“Pihak syarikat kapal tunda tersebut juga akan bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia bagi menyiasat punca sebenar kebakaran,” katanya. 

Tambahnya, Maritim Malaysia menasihatkan agar komuniti maritim sentiasa peka mengenai keselamatan di laut dan bersiap sedia dengan sebarang kejadian yang tidak diingini di laut bagi mengelakkan kehilangan nyawa serta harta benda. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed