by

Tukang gunting sambut baik – Utusan Digital

News Sources:

PETALING JAYA: Bersyukur kerana perkhidmatan pengguntingan rambut dibuka semula.

Pengusaha gunting rambut menerima arahan kerajaan untuk beroperasi secara terhad dengan perkhidmatan menggunting rambut sahaja.

Rata-rata masih menaruh harapan agar kerajaan memberi kelonggaran peraturan dari semasa ke semasa sehinggalah sektor berkenaan dapat menjalankan perkhidmatan sepenuhnya.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia, TN Winda Mohd Tahir, 47, berkata, dia bersyukur kerana kerajaan masih memberikan peluang industri gunting rambut beroperasi walaupun kes jangkitan Covid-19 kekal antara 4,000 sehingga 5,000 kes sehari.

“Setakat ini, kami boleh menerima lagi peraturan yang kerajaan tetapkan tetapi saya berharap ia tidak berlanjutan terlalu lama.

“Kita lihat dulu keadaan dalam tempoh seminggu atau dua minggu akan datang. Jika keadaan semakin pulih, kami harap kerajaan akan mempertimbangkan untuk membenarkan perkhidmatan sampingan lain,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Presiden Persatuan Pendandan Malaysian (MHA), Michael Poh pula berharap kerajaan membenarkan sektor itu beroperasi sepenuhnya selepas 18 Februari ini dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti dicadangkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini kerana, katanya, tidak pasti sama ada pengusaha gunting rambut masih mampu bertahan jika tidak bergantung dengan perkhidmatan sampingan lain seperti rawatan rambut, melurus rambut (rebonding), mencuci, mewarna dan tatarias rambut.

“Terima kasihlah kepada kerajaan kerana prihatin dan mendengar rintihan kepayahan pemain industri. Membenarkan kami beroperasi sudah cukup baik. Saya menerima situasi tersebut secara terbuka kerana memahami kerajaan juga sedang berdepan tekanan ekonomi dan kesihatan,” katanya.

4 Februari lalu, kerajaan membenarkan operasi kedai gunting rambut selain operasi pasar malam dan pusat mencuci kereta setelah menilai risiko dan jumlah kluster tersebut rendah namun tertakluk kepada SOP yang ketat.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, sebanyak 8,000 daripada 80,000 pemain industri perkhidmatan gunting rambut dan salun kecantikan berdepan perceraian akibat penutupan operasi dalam tempoh jangka masa panjang.

Bagi wakil Gabungan Pendandan Rambut Malaysia, Bambang Sutrisno Soteto, 40, dia mengambil sikap positif kerana sudah biasa dengan situasi mencabar menyorot pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama tahun lalu.

“Tidak mengapa. Kita ambil sahaja peluang apa yang ada. Kalau jangkitan Covid-19 sudah kembali pulih dan kes menurun, kita (persatuan) akan menggesa kerajaan untuk membolehkan perkhidmatan lain. Tengoklah macam mana,” katanya.

Bagi pengusaha gunting rambut di Semporna, Sabah, Mohd. Rusdi Rukkan, 27, berkata, apa pun peraturan yang diberikan tidak lagi menjadi pertikaian asalkan perniagaaannya dapat beroperasi walaupun pendapatan sudah tidak sama seperti dulu.

Kata Rusdi yang terbeban dengan sewaan kedai berjumlah RM1,500 sebulan, dia sedang ‘membangunkan’ semula perniagaan dan banyak aspek yang perlu dipertimbangkan terutama berkenaan SOP dan pengurusan wang.

“Memadailah beginilah. Tiada masalah yang penting saya boleh berkhidmat kembali kepada pelanggan saya yang sudah lama tidak berkunjung ke premis,” katanya.

Sementara itu, Fazley Mohamed Nordin, 44, berkata: “Saya terkilan kerana kerajaan mengambil langkah separuh jalan dengan hanya membenarkan perkhidmatan gunting rambut dan menghalang operasi perkhidmatan sampingan. Saya harap kerajaan lebih prihatin dengan membenarkan operasi gunting rambut dibuka secara menyeluruh,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed