by

UiTM lakukan kajian Kempen Pembudayaan Norma baharu

News Sources:

SHAH ALAM: Kajian Kempen Pembudayaan Norma Baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) mendapati kulit alergi dan kos pebelanjaan meningkat antara hasil dapatan tertinggi terhadap norma baharu berhubung pemakaian pelitup muka.

Ketua Penyelidiknya, Prof. Madya Dr. Yarina Ahmad berkata, pihaknya telah melakukan kajian bermula September hingga Disember tahun lalu dan melibatkan dua fasa.

“Pemakaian pelitup muka di tempat awam telah menjadi norma baharu, namun masyarakat berpandangan pelitup muka meningkatkan kos pebelanjaan selain membuatkan kulit menjadi alergi.

“Malah, dapatan kajian juga mendapati terdapat pelitup muka kurang berkualiti, isu keselesaan semasa pemakaian seperti cermin mata berkabus, ketidakselesaan kepada kanak-kanak, warga emas dan kepada individu yang mempunyai masalah pernafasan, menghalang komunikasi serta menyukarkan pengecaman wajah seseorang termasuk penjenayah.

“Buat masa ini, kita telah menyerahkan kajian tersebut kepada Bahagian Pengurusan Bencana, Jabatan Perdana Menteri (NADMA),” katanya.

Yang turut hadir dalam penyerahan kajian itu ialah Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UiTM, Prof. Dr. Nazip Suratman dan Timbalan Ketua Pengarah NADMA, Mohamad Azhan Mohd. Amir.

Terdahulu, kajian fasa pertama melibatkan 56 penyelidik dan 33 pelajar berjaya menjalankan kutipan data melalui soal selidik dalam talian melibatkan 12,525 responden.

Manakala, bagi fasa kedua pula, 2,074 responden ditemu bual, termasuk 250 temu bual kumpulan berfokus dan 18 kumpulan sasaran, 70 temu bual mendalam bersama responden yang pernah melalui ujian saringan Covid-19, dan 12 temu bual mendalam bersama bekas pesakit Covid-19.

Dalam pada itu, Yarina berkata, pemakaian pelitup muka juga menjadi satu cabaran besar kepada peniaga, penjual, pekerja industri dan lain-lain.

“Ini termasuk aspek mencuci tangan dengan menggunakan air dan sabun kerana cabaran besar yang dihadapi antaranya adalah kekurangan kemudahan untuk mencuci tangan seperti di sekolah, tempat kerja, tempat awam yang hanya disediakan di tandas-tandas berdekatan.

“Selain itu, penjarakan fizikal merupakan amalan norma baharu yang menjadi cabaran besar terutama sekali dalam kalangan ahli keluarga sendiri, semasa berada di tempat kerja, semasa memasuki premis yang sesak dan sempit,” katanya.

Sementara itu, Nazip berkata, hasil kajian tersebut mendapati 94 peratus responden memakai pelitup muka apabila berada di tempat awam.

Katanya, kajian tersebut juga melaporkan 91 peratus responden mematuhi arahan penjarakan fizikal, 88 peratus mengamalkan mencuci tangan dengan air dan sabun, dan 90 peratus responden menggunakan cecair pembasmi kuman sebagai alternatif untuk membersihkan tangan bagi menggantikan air dan sabun. – UTUSAN





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed