by

UMNO Baling akur keputusan MT

News Sources:

BALING: UMNO Bahagian Baling akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO berhubung kerjasama parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menerusi Perikatan Nasional (PN).

Sehubungan itu ketuanya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, UMNO Baling mengambil keputusan tidak membuat sebarang usul menolak Bersatu dan PN pada mesyuarat bahagian itu.

“Kita mengambil keputusan ikut arahan MT, sebab apa kita nak tolak PN, kita ikut arahan kepimpinan tertinggi. Mana boleh kita buat keputusan tolak dan tarik, tak boleh.

“Kita tidak boleh memandai-mandai, kita kena ikut, kita ada saluran, kita ada parti, kita ada sistem, kita ikut sahaja apa yang diputuskan dalam mesyuarat MT UMNO dan diarahkan itu yang kita kena ikut.

“Apa yang MT UMNO arah, itu yang kami ikut, (kerjasama) dengan siapa, bagaimana dan kaedahnya, semua terserah kepada MT,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Baling di sini hari ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Puad Zarkashi baru-baru ini mendakwa bukan rahsia lagi 145 Ketua UMNO Bahagian UMNO menolak kerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Puad berkata, ini kerana sikap Bersatu yang menikam UMNO dari belakang dan cuba menguburkan UMNO.

Bagaimanapun Abdul Azeez menjelaskan, UMNO bahagian itu menjalinkan kerjasama yang erat dengan Pas menerusi Muafakat Nasional (MN).

Menurutnya, UMNO tidak mempunyai masalah dengan Pas, malah pengundi di negeri dan bahagian itu mengalu-alukan kerjasama tersebut.

“Malah mereka (pengundi) juga selama ini lebih kenal parti Pas dan UMNO,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed