by

UMNO, Pas, Bersatu setuju tidak bertembung semasa sendiri

News Sources:

KUBANG PASU: Tiga parti Melayu terbesar negara, UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mencapai persetujuan untuk tidak ‘bertembung’ sesama sendiri dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) nanti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, persetujuan itu dicapai bagi memastikan tiada parti lain yang menangguk di air keruh seterusnya meraih kemenangan seperti yang berlaku dalam PRU-14 sebelum ini.

“Kita telah nyatakan dalam PRU-15, UMNO akan menggunakan lambang Barisan Nasional (BN) manakala Pas dan Bersatu pula telah mewujudkan Perikatan Nasional (PN).

“Kita tak tahulah sama ada Bersatu dan Pas akan gunakan lambang PN atau sebaliknya tetapi jika mereka bertanding di sesuatu kawasan, BN takkan bertanding di kawasan itu dan begitulah sebaliknya. Matlamat utama kita adalah mengelakkan pertembungan kerana tidak mahu undi Melayu berpecah,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan, Kem Bukit Kayu Hitam dekat sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, ketika ini Pakatan Harapan (PH) amat mengharapkan supaya perpecahan itu berlaku bagi memudahkan mereka mencapai kemenangan seperti yang berlaku dalam PRU-14.

“Kita belum selesai berunding kerusi jadi adalah lebih baik untuk tunggu semuanya selesai terlebih dulu.

“Setakat ini, itulah persetujuan yang dicapai. Untuk masa depan pun, saya fikir takkan ada masalah yang timbul kerana apa jua perkara berbangkit, boleh dibawa berbincang dengan semua pihak,” katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa turut memaklumkan tiga presiden parti iaitu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (UMNO), Datuk Seri Abdul Hadi Awang (PAS) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin (Bersatu) akan mengadakan rundingan pembahagian kerusi di Kuala Lumpur minggu depan. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed