by

UMNO Pulau Pinang tolak kerjasama politik dengan Bersatu pada PRU-15

News Sources:

BUTTERWORTH: UMNO Pulau Pinang menolak sebarang kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Pengerusinya, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, keputusan itu dibuat selepas majoriti daripada 13 bahagian UMNO negeri ini membawa usul itu dalam mesyuarat perwakilan bahagian masing-masing yang selesai hari ini. 

Beliau berkata, UMNO negeri sebaliknya akan mengukuhkan kerjasama dengan Pas di bawah Muafakat Nasional (MN) serta parti-parti lain di negeri ini dalam usaha merampas semula pentadbiran kerajaan negeri daripada DAP. 

Dengan keputusan itu juga, katanya, UMNO Pulau Pinang akan bertanding di semua kerusi yang dimiliki parti itu sebelum ini tetapi menjadi milik Bersatu selepas wakilnya melompat parti. 

“Kita menilai Bersatu masih berdendam dengan UMNO dan kita juga rasa seperti ditikam dari belakang sedangkan UMNO sudah banyak bertolak ansur. 

“Kesabaran kami ada had dan ahli-ahli akar umbi juga melihat dan marah dengan situasi ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam, di sini hari ini. 

Ketika ini, Bersatu di Pulau Pinang memiliki satu kerusi Parlimen iaitu Tasek Gelugor dan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bertam; Seberang Jaya; Teluk Bahang dan Sungai Acheh. 

Menurut Musa yang juga Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam, keputusan untuk tidak bekerjasama  secara politik dengan Bersatu itu bukan sesuatu yang baharu sebaliknya sudah diputuskan Biro Politik dan Majlis Kerja Tertinggi UMNO sebelum ini. 

Katanya, kerjasama dengan Bersatu ketika ini hanya untuk membentuk Kerajaan Pusat ekoran pergolakan yang berlaku dalam  Pakatan Harapan (PH) sehingga kerajaan tumbang sebelum ini. 

“Tetapi malangnya ada pemimpin UMNO sendiri yang membuat kenyataan mengelirukan berkenaan perkara ini sehingga menyebabkan ahli-ahli akar umbi dan rakyat turut keliru,” katanya. 

Ditanya penerimaan Pas dengan keputusan itu memandangkan parti itu ketika ini turut bekerjasama dengan Bersatu di bawah Perikatan Nasional (PN), beliau berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah dengan Pas malah kerjasama dengan parti itu di negeri ini juga bertambah kukuh.

Berhubung kemungkinan berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU-15 yang tidak akan memberi kelebihan kepada MN, Musa berkata, UMNO Pulau Pinang sedia berdepan kemungkinan itu dan yakin dengan kekuatan sokongan ahli UMNO serta Pas. – UTUSAN ONLINE 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed