by

UMNO tak jujur bersama Bersatu -Osman Sapian

News Sources:

JOHOR BAHRU: Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian mendakwa terdapat pemimpin UMNO tidak jujur dalam perjuangan kerana mengharapkan kedudukan dan jawatan untuk melakukan sesuatu perkara.

Beliau yang juga Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Ayer Hitam berkata, hal itu kerana majoriti pemimpin parti itu yang lantang ketika ini adalah mereka yang tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) lalu selain tidak mendapat kedudukan yang dimahukan.

Katanya, antara individu berkenaan termasuklah pemimpin UMNO yang pernah menjawat jawatan besar dalam kerajaan terdahulu.

“UMNO ini pemimpin mereka ramai yang tidak jujur, bukan sahaja tidak jujur dengan Bersatu, tetapi juga dengan masyarakat.

“Jika hasratnya mahu membantu dan memberi manfaat kepada rakyat, mereka masih boleh berbuat demikian walaupun berada di luar kerajaan dan tidak memegang sebarang jawatan besar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Sumbangan Peralatan Murid Kembali Ke Sekolah di Dewan Raya Kempas, di sini hari ini.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas itu, pihaknya tidak terkejut dengan kenyataan beberapa pemimpin UMNO yang mahu memutuskan kerjasama dengan Bersatu dalam PRU akan datang.

“Kita tidak terperanjat jika UMNO mahu berbuat demikian kerana perkara ini kita sudah nampak dari awal lagi apabila mereka bersama Bersatu hanya untuk menjadi sebahagian daripada kerajaan.

“Apabila jadi kerajaan dan mempunyai kedudukan, mereka jadikan ia sebagai platform untuk perkukuh kedudukan dengan meletakkan individu di jawatan berkepentingan sama ada di peringkat akar umbi seperti ketua kampung, ahli majlis atau di peringkat lebih tinggi,” ujarnya. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed