by

Usaha jejaki bekas anggota Senoi Praaq

News Sources:

TAPAH: Warga Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq Kem Bidor mengambil inisiatif  mengesan pesara dan bekas anggotanya bagi memastikan kebajikan mereka tidak terabai.

Pegawai Pemerintah Batalion 3 PGA Senoi Praaq, Superintenden Rosman Kasman berkata, usaha itu bersesuaian dengan lokasi pasukan berkenaan yang terletak di sini selain Bidor mempunyai banyak perkampungan Orang Asli.

Katanya, selain itu hubungan rapat dalam kalangan warga pasukan itu dengan komuniti para pesara Senoi Praaq memudahkan usaha tersebut dilakukan.

“Walaupun kebanyakan pesara pasukan Senoi Praaq menjalani hidup dengan baik selepas tamat perkhidmatan namun kita masih perlu menghubungi mereka untuk bertanya khabar. 

“Usaha ini juga secara tidak langsung dapat mengekalkan hubungan silaturrahim selain mengambil maklum sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan,” katanya semasa ditemui selepas memberi taklimat ringkas berhubung Program Jiwa Murni Pembinaan Rumah Senoi Praaq di sini baru-baru ini.

Program itu bagi membaiki dan membina semula pondok diduduki bekas anggota 69 Komando, Konstabel Abri Bah Ali, 60, di perkampungan Orang Asli di Kampung Senta, di sini yang dibiayai syarikat swasta, Gading Kencana Sdn. Bhd.

Abri yang menyertai Senoi Praaq pada tahun 1978 sebelum diserapkan ke dalam 69 Komando berhenti daripada pasukan polis setelah enam tahun bertugas sebelum pulang ke kampung halamannya.

Bapanya, mendiang Cif Inspektor Bah Ali Kinchong pula pernah berkhidmat di Batalion 18 Pasukan Polis Hutan Senoi Praaq sebelum menjadi penghulu pertama di perkampungan tersebut.

Rosman berkata, beliau telah bertemu dan  berbincang dengan Pengarah Urusan Gading Kencana, Datuk Muhammad Guntor Mansor Tobeng pada 17 Disember lalu bagi memperincikan tentang kerja-kerja pembinaan pondok didiami Abri.

“Hasil lawatan ke pondok Abri memang kehidupannya secara ala kadar sahaja. Di pondok itu cuma ada sebuah periuk, cerek dan kuali untuk memasak manakala dia dan anaknya yang berusia 13 tahun tidur di lantai.

“Dia menumpang mandi di rumah sanak saudara. Mengikut cadangan, kita akan membina rumah jenis batu di atas tapak sama berkeluasan kira-kira 500 meter persegi dengan dua buah bilik tidur,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed