by

Usaha Malaysia perangi cetak rompak dicontohi banyak negara

News Sources:

PUTRAJAYA: Tindakan serius Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam membanteras laman atas talian cetak rompak mula diakui pihak luar.

Malah, Bahagian Penguat Kuasa kementerian itu turut menerima sijil dan surat penghargaan dari pihak Asia Video Industry Association (AVIA) yang berpangkalan di Hong Kong, China.

“Usaha berterusan bahagian ini turut dihargai pihak pentadbir bola sepak England, English Premier League di London dan Astro Malaysia Berhad,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut kenyataan kementerian berkenaan, penghargaan itu membuktikan komitmen dan kerjasama baik dengan pihak industri dalam membantu kementerian memerangi pelanggaran hak cipta atas talian di Malaysia.

Lebih unik kata kenyataan tersebut, kaedah tegas yang dilaksanakan Malaysia turut dijadikan contoh dan ikutan kepada banyak negara lain terutama di rantau Asia Tenggara.

Ini dibuat melalui kerjasama dengan AVIA, yang dianggotai lebih 130 ahli meliputi operator stesen penyiaran kabel, satelit, jalur lebar, teresterial dan penyedia kandungan seluruh dunia.

“AVIA yang ditubuhkan sejak 1991 bahkan melaporkan, sejak 12 bulan lalu ada penurunan 64 peratus pengguna di Malaysia yang mengakses laman cetak rompak,” kata kenyataan itu.

Turut berlaku pengurangan 61 peratus penggunaan peranti pelayaran haram atas talian dan 55 peratus pengguna menyedari tindakan kementerian yang menghalang akses laman haram.

Hasilnya, kementerian itu menambah, 49 peratus pengguna di Malaysia tidak lagi melayari laman ‘lanun’ dan sejumlah 40 peratus warganet juga jarang akses pautan cetak rompak.

Kajian AVIA malah mendapati ada peningkatan 20 peratus langganan ke atas perkhidmatan penstriman berbayar sah dan pertambahan 15 peratus waktu tontonan bagi platform yang sah.

“Kementerian juga menjalinkan kerjasama rapat dengan pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi sekat akses laman siar karya tanpa kebenaran,” katanya.

Tidak ketinggalan kerjasama dengan pihak industri tempatan dan antarabangsa dengan hasilnya, sebanyak 64 halangan akses telah dilakukan kementerian itu sepanjang 2018 lalu.

Jumlah ini naik kepada 438 pada 2019 dan 644 pada 2020, sekali gus bukti kejayaan tindakan tegas selain penguatkuasaan secara fizikal produk tiruan di pasaran tempatan.

“Selaras perubahan semasa, kementerian juga mengubah kaedah penguatkuasaan selari teknologi demi melindungi pemilik hak cipta dan elak pengguna daripada tertipu,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Penguat Kuasa kementerian melalui kenyataan tersebut mengingatkan peniaga berhubung kesalahan penjualan cakera di bawah Akta Hak Cipta 1987.

Pengguna juga ujarnya perlu memainkan peranan bantu kerajaan untuk banteras aktiviti salah itu dengan tidak membeli atau melanggan perkhidmatan atas talian atau pembelian fizikal.

“Masyarakat malah boleh salur maklumat dengan lapor melalui hotline 1-800-886-800 atau pautan http://e-aduan.kpdnhep.gov.my atau hadir di mana-mana pejabat kementerian,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed