by

Walaupun hanya dua orang semeja, tetapi kami kembali bernafas

News Sources:

KUALA LUMPUR – Setelah lapan tahun berniaga inilah kali pertama peniaga kedai makan, Jamilah Matnin terpaksa memotong gaji dua orang pekerjanya.

Biasa membayar gaji pekerja RM80 sehari, namun beliau beberapa kali culas, terpaksa memotong sehingga RM15 seorang kerana pendapatan kedai semakin menyusut.

Kata wanita berusia 50 tahun itu, beliau terpaksa berbuat demikian kerana kedai makannya tidak lagi mendapat sambutan, berikutan larangan pelanggan makan di premis susulan pelaksanaan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Meskipun masih dibenarkan beroperasi, namun ujar beliau jumlah pelanggan yang datang setiap hari jauh berbeza apabila dibenarkan makan di premis.

Jamilan Matnin

Jamilah berkata, beliau hanya mampu meraih pendapatan RM70 hingga RM100 setiap hari menerusi jualan makanan secara bungkus jika dibanding dengan kos perbelanjaannya membeli barangan mentah yang berlipat kali ganda.

“Ketika tidak dibenarkan, mahu bayar gaji dua orang pekerja pun tidak lepas.

“Kadang-kadang pendapatan seharian RM70 sahaja atau RM100 tetapi kos belanja tiap hari beratus-ratus. Jadi terbeban juga,” katanya kepada MalaysiaGazette yang membuat tinjauan di sekitar ibu negara.

Jamilah Matnin menyiapkan jualan ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 10 FEBRUARI 2021.

Ditanya reaksinya apabila kerajaan membenarkan pelanggan makan di premis menjual makanan mulai semalam, Jamilah berkata, beliau amat berterima kasih kerana kelonggaran itu sangat bermakna kepada mereka yang bergantung kepada hasil jualan untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Sekurang-kurangnya menurut beliau, warung makannya yang beroperasi di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi  masih boleh diteruskan dalam waktu pandemik Covid-19.

Selain mengucapkan penghargaan di atas keprihatinan kerajaan, beliau berharap tidak ada lagi pertukaran SOP dalam masa terdekat ini.

“Alhamdulillah sebab sudah dibenarkan, semasa PKP yang tidak dibenarkan (pelanggan makan di kedai) kita langsung tidak mendapat sambutan. Harap-harapnya kebenaran ini berterusan.

“Sebab suami kakak pun tidak bekerja, suami hanya bilal surau jadi tidak ada sumber pendapatan lain selain berniaga di kedai ini. Terima kasih kepada kerajaan,” tambahnya.

Sementara itu, peniaga Char Kuey Teow, Saiful Nizam Hasan, 45, gembira melihat kedai makan kecilnya mendapat sambutan hari ini walapun pelanggan yang datang dihadkan kepada dua orang semeja.

Saiful Nizam Hasan

Walaupun terhad, namun ujarnya inisiatif ini sangat membantu peniaga kecil sepertinya untuk meraih pelanggan.

“Buat masa ini Alhamdulillah, hari ini ada sambutan. Kalau setakat bungkus sebelum ini memang kurang teruk.

“Jadi bila dibenarkan makan di kedai Alhamdulillah. Kalau bungkus sahaja, kadang ada pelanggan, kadang terus tidak ada. Kalau ada pun lima hingga enam bungkus sahaja terjual,” kata beliau yang tidak putus-putus menyatakan rasa syukur dengan kelonggaran tersebut.

Selain itu Norina Che Ahmad, 40 berkata, beliau tidak lagi perlu lagi risau tentang jualannya buburnya yang sering tidak habis seperti sebelum ini.

Norina Chr Ahmad

Bukan sahaja terpaksa membuang bubur tersebut, Norina juga menanggung kerugian apabila semakin hari semakin kurang pelanggan mengunjungi kedainya sehingga ke satu peringkat beliau membuat keputusan menutup sementara perniagaannya.

Berikutan itu, sebaik mendapat tahu kerajaan melonggarkan SOP di premis yang menjual makanan, beliau sangat bersyukur dan teruja untuk membuka gerai hari ini.

“Sebelum ini hanya boleh bungkus jadi terhad, sekarang Alhamdulillah. Masa mula-mula PKP saya terpaksa tutup kedai, hanya menjual dari rumah buat penghantaran popiah dan roti.

“Apabila PKP berterusan untuk jangka masa panjang, pelanggan pun bertanya produk kita, kena buka jugalah.

“Sebelum ini jualan saya seperti bubur, cucur kerap tidak habis dan terpaksa dibuang. Membazir sedangkan modal sudah pun dikeluarkan. Hari ini baru mula dibenarkan makan di kedai, Alhamdulillah dapat sambutan,” tambahnya.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kelmarin mengumumkan kerajaan memberi kelonggaran kepada orang ramai untuk makan di premis menjual makanan terhad dua orang semeja dan perlu mematuhi penjarakan fizikal satu meter. -MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed