by

Walaupun terpaksa masuk kebun getah ikuti PdPR, Mariana berjaya peroleh 6A

News Sources:

JELEBU: Walaupun berdepan kesukaran sehingga perlu masuk ke dalam kebun getah sejauh lima kilometer untuk memuat naik modul pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), pengorbanan itu akhirnya berbaloi.

Begitulah yang dilalui seorang pelajar masyarakat Orang Asli di Kampung Bertam dekat sini, Mariana Ubit, 18, yang berjaya meraih keputusan cemerlang 6A 1C dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 yang diperoleh Khamis lalu.

Keputusan itu juga menjadikan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Jelebu, Kuala Klawang dekat sini sebagai pelajar cemerlang SPM bagi orang Asli di daerah ini tahun ini.

Anak keenam daripada sembilan beradik itu berkata, kesukaran dengan perlu berjalan kaki untuk ke kebun getah itu dianggapnya sebagai berbalas dengan keputusan SPM yang diperolehnya itu.

“Hampir setiap hari saya masuk ke dalam kebun getah untuk memuat turun modul yang diberikan guru semasa mengikuti PdPR. Di kebun itu sahaja ada capaian internet yang baik.

“Saya gembira kerana berjaya mencapai sasaran. Saya tiada rahsia, cuma, saya akan fokus bila belajar dan mengamalkan konsep bijak sewaktu belajar supaya tidak merasa tekanan ketika belajar,” katanya ketika ditemui selepas menerima kunjungan daripada pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli Daerah Jelebu di rumahnya semalam.

Menurut Mariana, dia mahu menjadi seorang novelis satu hari nanti dan mahu melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang penulisan skrip.

Sementara itu, ayahnya ketika ditemui, Ubit Tahir, 51 berkata, dia gembira dengan keputusan SPM anaknya yang amat membanggakan itu

“Hanya dia seorang sahaja anak saya yang berjaya kerana anak-anak lain sebelum ini kurang bernasib baik ekoran masalah kewangan dan kenderaan ketika itu. Saya sering memberitahu Mariana supaya jangan jadi seperti saya yang hanya belajar sekerat jalan.

“Saya teringin melihat dia memasuki menara gading. Saya harap dia menjadi contoh kepada adik-adiknya yang lain untuk berjaya,” katanya.

Dalam pada itu, pegawai JAKOA Daerah Jelebu, Mohamad Fauzi Ali berkata, Mariana merupakan pelajar cemerlang bagi anak orang Asli daerah Jelebu dan difahamkan antara pelajar Orang Asli terbaik di negeri ini.

“Seramai 16 orang pelajar Orang Asli di daerah ini yang mengambil peperiksaan SPM pada tahun lepas. Saya berharap dengan kejayaan ini, Orang Asli yang lain dapat mengikut jejak langkah dan menjadi Mariana sebagai contoh pelajar yang terbaik,” katanya. – UTUSN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed