by

Wanita Arab Saudi dijatuhi hukuman mati bunuh pembantu rumah, keputusan jarang berlaku

News Sources:

DHAKA – Seorang wanita Arab Saudi disabitkan kesalahan membunuh pembantu rumahnya, seorang warganegara Bangladesh dua tahun lalu.

Kumpulan hak asasi menyifatkan keputusan itu jarang sekali berlaku, apabila majikan didapati bersalah mendera pekerja asing.

Ayesha Al Jizani dijatuhkan hukuman mati oleh mahkamah jenayah Arab Saudi kerana membunuh Abiron Begum pada bulan Mac 2019.

Serentak itu, keluarga Begum mendesak Kerajaan Bangladesh untuk mengambil tindakan terhadap broker yang memperdayakan Begum, 40, untuk bekerja di Arab Saudi empat tahun lalu.

“(Dia) ingin pergi ke luar negeri untuk mendapatkan lebih banyak wang supaya dia dapat menanggung ibu bapa yang sudah tua,” kata Ayub Ali, abang iparnya, kepada Thomson Reuters Foundation.

Dakwanya, Begum telah diseksa selama dua minggu.

“Dia akan menelefon kami dan menangis…kami merayu kepada broker untuk membawa dia balik, tapi tiada seorang pun yang dengar,” katanya.

Manakala suami Jizani dihukum penjara tiga tahun kerana gagal membawa Begum mendapatkan rawatan, selain mengarahkan mangsa bekerja di luar kediaman keluarga tersebut secara haram.

Manakala anak Jizani pula dihantar ke kemudahan juvana selama tujuh bulan.

Keluarga mangsa mendakwa mayat Begum “tidak dapat dikenali” ketika dihantar pulang ke Bangladesh tujuh bulan kemudian.

Majikan yang dituduh melakukan pembunuhan adalah Bassem Salem, isterinya Ayesha al-Jizani dan anak mereka Walid Basem Salem.

Begum berpindah ke Arab Saudi pada tahun 2017 untuk bekerja sebagai pekerja rumah di rumah keluarga Salem yang terdiri daripada lapan orang.

Keluarga Begum mendakwa mangsa mengadu majikannya pernah menyimbah air panas  dan menolak mukanya pada jeriji besi untuk menghukumnya.

Bangladesh adalah salah satu pengeksport buruh tertinggi di dunia dan sangat bergantung pada kiriman wang yang dihantar kepada keluarga.. – MalaysiaGazette



Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed