by

Wanita pandu lawan arus di Lebuhraya SDE ditahan polis

News Sources:

JOHOR BAHRU: Wanita berusia 46 tahun berdepan hukuman penjara tidak lebih lima tahun beserta denda antara RM5,000 hingga RM15,000 selain hilang kelayakan memandu selama lima tahun hanya kerana memandu secara merbahaya iaitu melawan arus.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, wanita itu dipercayai melakukan perbuatan tersebut di Lebuhraya Senai Desaru (SDE) menghala ke arah Desaru berhampiran susur keluar tol Cahaya Baru, Pasir Gudang.

Jelas beliau, suspek ditahan pada pukul 6.30 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam.

“Semalam, polis menerima satu rakaman video berdurasi 48 saat menunjukkan sebuah kereta dipandu secara merbahaya iaitu dengan melawan arus.

“Sehubungan itu suspek ditahan bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, tular sebuah video rakaman berhubung kejadian berkenaan yang dipercayai berlaku pada 7 Januari lalu kira-kira pukul 4.30 petang.

Tambah Ayob Khan lagi, polis Johor akan memastikan siasatan dijalankan dengan telus dan tindakan pertuduhan di mahkamah dibuat atas kecuaian suspek yang jelas mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Kami memandang serius perbuatan ini dan tidak akan berkompromi serta akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang melanggar undang-undang,” ujarnya.

Dalam masa sama, pihaknya turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat dalam membantu polis sehingga suspek berjaya ditahan. -UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed