by

Warga asing di Malaysia layak terima vaksin Covid-19 percuma

News Sources:

PUTRAJAYA: Warganegara asing yang menetap di negara ini bakal diberi keistimewaan sama untuk mendapatkan vaksin Covid-19 secara percuma.

Perkara itu dicapai menerusi mesyuarat Jemaah Menteri yang membuat keputusan itu semalam agar Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang bermula hujung bulan ini turut melibatkan pemberian vaksin kepada semua golongan bukan warganegara.

Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin (JKJAV) dalam kenyataan berkata, ia sebagai mengambil pertimbangan atas faktor seperti rekod jumlah pesakit yang ramai menerusi kluster yang wujud daripada pekerja asing (sektor perladangan, pembinaan dan pembuatan) selain kos rawatan dan kuarantin pesakit Covid-19 yang tinggi akibat daripada jangkitan kepada kluster pekerja asing.

Selain itu, kata JKJAV, hanya persekitaran selamat serta bebas Covid-19 boleh dicapai apabila seramai mungkin penduduk Malaysia diberikan vaksin dan pemberian vaksin adalah satu langkah berperikemanusiaan dalam tempoh pandemik ini.

“Ia juga atas faktor bahawa pekerja asing telah menjadi sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negara.

“Malaysia turut mengambil pertimbangan atas layanan sebahagian negara luar yang turut memberikan vaksin kepada warganegara Malaysia yang berada di negara tersebut,” katanya hari ini.

JKJAV berkata, bagaimanapun, keutamaan pemberian vaksin Covid-19 adalah kepada warganegara Malaysia terlebih dahulu.

Katanya, maklumat dan jadual pemberian vaksin untuk warganegara asing akan diumumkan kelak.

Jelas jawatan kuasa itu, keputusan pemberian secara percuma ini juga dibuat memandangkan akses bekalan vaksin Covid-19 yang diperoleh Malaysia adalah mencukupi serta melebihi jumlah warganegara Malaysia yang layak menerimanya.

“Ia juga adalah selari dengan pendirian kerajaan untuk memberi vaksin kepada seramai mungkin populasi di Malaysia bagi membolehkan imuniti kelompok dapat dibentuk dalam usaha membendung pandemik Covid-19.

“Ia juga selari dengan tema Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan iaitu ‘Lindung Diri, Lindung Semua’ serta menerusi pendekatan ‘Tiada yang selamat, sehingga semua adalah selamat’,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed