by

Warisan, Pejuang, Muda boleh bentuk kerajaan baharu 

News Sources:

PETALING JAYA: Parti Warisan Sabah (Warisan) memberi gambaran ada usaha ke arah pembentukan gabungan baharu dianggotai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bagi menumbangkan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15). 

Naib Presiden Warisan, Datuk Junz Wong berkata, tiada halangan untuk ketiga-tiga parti itu bekerjasama membentuk kerajaan baharu menggantikan PN yang terhasil bukan melalui pilihan raya dan mandat rakyat. 

Bagaimanapun, tiada perincian maklumat mengenai jajaran baharu berkenaan dan sebarang kenyataan rasmi akan dikeluarkan oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dalam masa yang belum ditetapkan. 

“Warisan boleh bekerjasama bersama mereka (Pejuang dan Muda) untuk membentuk kerajaan seterusnya di peringkat Persekutuan,” kata Junz Wong ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam. 

Disember tahun lalu, Mohd. Shafie mengumumkan Warisan akan bertanding di Semenanjung pada PRU-15 dan akan membuka cawangan di kawasan lain yang tiada masyarakat Sabah tetapi mempunyai permintaan. 

Pun begitu, untuk membolehkan gabungan baharu tersebut bertanding pada pilihan raya, Pejuang dan Muda mesti didaftarkan secara rasmi di bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) malangnya status pendaftaran kedua-dua parti itu masih tergantung ekoran masalah teknikal. 

Semalam, akhbar ini memetik sumber melaporkan, Warisan dikatakan akan membentuk kerjasama dengan Pejuang dan Muda pada PRU-15 menggunakan nama PH Plus malah mungkin akan disokong oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. 

Bagaimanapun, Junz Wong menafikan jenama PH Plus akan digunakan dan setakat ini tiada nama rasmi yang akan digunakan pada PRU-15 akan datang. 

Tambahnya, Warisan tidak perlu mendapatkan keizinan daripada sesiapa untuk bertanding di Semenanjung termasuklah Dr. Mahathir. 

“Tiada lagi PH Plus. Apapun, kita tunggu dan lihat. Saya berharap Dr. Mahathir dan pemimpin politik lain menyokong gerakan ini jika dilaksana,” katanya. 

Utusan Malaysia berhubung dengan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, namun beliau enggan mengulas perkara berkenaan dan menumpukan perhatian dalam menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed