by

Wujud bukti kukuh wang RM6.5 juta diserah kepada Rosmah – Pendakwa

News Sources:

KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan dalam kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor menghujahkan, wujud bukti kukuh bahawa wang RM6.5 juta diserahkan kepada isteri bekas Perdana Menteri bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram berhujah, wang itu dihantar kepada Rosmah dalam dua waktu berbeza iaitu sebanyak RM5 juta di Seri Perdana, Putrajaya manakala RM1.5 juta lagi di kediaman peribadinya di Langgak Duta.

Wang itu daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pegawai khas tertuduh, Datuk Rizal Mansor.

Syarikat itu berminat memperoleh kontrak daripada Kementerian Pendidikan untuk menyediakan kuasa hibrid solar untuk sekolah-sekolah di Sarawak, namun tidak mendapat sokongan menterinya ketika itu, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Susulan itu, Saidi dan rakan kongsinya ketika itu, Rayyan Radzwill Abdullah, menemui Rizal untuk mendapatkan bantuannya dalam memperoleh kontrak berkenaan.

Menurut pendakwaan, dalam satu pertemuan yang diatur oleh pemandu Rosmah pada 2016, Saidi mencadangkan kepada tertuduh bahawa dia akan menyumbang 10% nilai kontrak kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai penghargaan terhadap pencapaiannya.

Hujah Sri Ram, Rosmah memang meminta rasuah kerana sebaik Saidi dan Rayyan meninggalkan kediaman peribadinya, tertuduh mengarahkan Rizal menaikkan jumlah sumbangan daripada 10% kepada 15%.

Rosmah, 68, turut dituduh meminta RM187.5 juta daripada Saidi melalui Rizal sebagai imbuhan untuk membantu Jepak mendapatkan projek berkenaan di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra di antara Januari 2016 dan 7 September 2017.

Sementara itu, pihak pembelaan menghujahkan, Rosmah tidak meminta dan menerima rasuah secara peribadi daripada Saidi sebaliknya lelaki itu sebenarnya yang berniat dan menawarkan wang berkenaan sebagai sumbangan politik.

Hujah pembelaan, sumbangan politik itu sepatutnya untuk Najib sebagai ‘tanda berterima kasih’ kerana menyokong permohonan Jepak mendapatkan projek solar dan memastikan kemenangan Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum ke-14. – UTUSAN ONLINE

 





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed