by

Wujud penipuan poligami – Utusan Digital

News Sources:

PUTRAJAYA: Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) tidak menolak kemungkinan wujud penipuan dalam permohonan poligami melibatkan pemohon sendiri atau ejen luar yang menawarkan khidmat pernikahan sindiket.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, kegiatan tersebut mungkin turut melibatkan peguam syarie atau kakitangan mahkamah syariah sendiri.

Menurut beliau, kes penipuan itu boleh berlaku sama ada melalui pemalsuan dokumen yang dikemukakan kepada mahkamah seperti tandatangan isteri sedia ada dalam akuan penerimaan dokumen mahkamah atau penipuan berkenaan alamat sebenar tempat tinggal pemohon.

“Penipuan ini walau dilakukan oleh sesiapa pun merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang.

“Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak agar melaporkan kepada pihak berkuasa sama ada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bahagian Penguatkuasan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mempunyai sebarang maklumat berkaitan perlakuan penipuan seperti ini supaya siasatan dan tindakan lanjut boleh diambil berdasarkan undang-undang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media berhubung kebimbangan pelbagai pihak berikutan peningkatan kes pemalsuan dokumen poligami yang mengancam institusi keluarga dan kehakiman syariah di negara ini.

Zulkifli berkata, bagi pihak pentadbiran mahkamah syariah, siasatan dalaman akan dilakukan jika ada aduan penipuan melibatkan kakitangan mahkamah.

Katanya, tindakan tegas akan diambil berdasarkan peraturan-peraturan sedia ada penjawat awam.

“Pihak JKSM dan mahkamah syariah negeri-negeri sama sekali tidak akan berkompromi dengan perbuatan warganya yang tidak amanah dalam menjalankan tugas dan kewajipan yang diberikan.

“Sebagai sebuah agensi di bawah tanggungjawab saya, JKSM selaku agensi penyelaras mahkamah syariah di negara ini akan bekerjasama rapat dengan pihak mahkamah syariah negeri-negeri, penguat kuasa JAIN, PDRM dan SPRM dalam mengekang gejala tipuan poligami ini,” katanya.

Dalam pada itu, Zulkifli berkata, perkahwinan poligami adalah dibenarkan menurut hukum syarak dan undang-undang, tetapi jika dilakukan tanpa kebenaran pihak berkuasa, hendaklah didaftarkan di jabatan agama Islam negeri-negeri.

Jelasnya, sebelum pendaftaran perkahwinan tersebut dapat dilakukan, satu permohonan perlu dikemukakan kepada mahkamah syariah bagi menentukan akad nikah yang membelakangkan undang-undang itu adalah sah atau sebaliknya menurut hukum syarak.

“Jika ia sah, mahkamah syariah akan mengeluarkan satu perintah untuk mendaftarkan perkahwinan tersebut,” katanya. – UTUSAN ONLINE





Source link

Comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

News Feed